Source: Malaysiakini.com
Fauwaz Abdul Aziz
May 11, 06 8:03pm
Ketika
Umno merayakan ulangtahun ke-60nya hari ini, sebuah DVD yang
mengandungi kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad
terhadap pemimpin negara sedang diedarkan.
Dr Mahathir
di dalam Rakaman DVD selama 2 jam itu antara lain membidas para
pemimpin negara yang disifatkannya sebagai pengecut.
"Jika
kita mahu sesuatu dilakukan dengan betul, kita mesti berani mengambil
risiko. Tetapi sekarang ini saya lihat tiada siapa yang berani
mengambil risiko walaupun negara ini jatuh ke tangan pihak tidak
bertanggungjawab,” katanya.
Bekas Perdana Menteri yang
berusia 82 tahun itu kesal kerana para pemimpin yang ada kini lebih
rela mendiamkan diri daripada bersuara kerana mahu menjaga diri
masing-masing.
Kritikan
keras Dr. Mahathir itu dibuat dalam satu majlis dialog dengan
sekumpulan profesional Melayu pada hujung tahun lalu. Rakaman DVD itu
diedarkan oleh Institut Kajian Ekonomi dan Politik (Ikape).
Malaysiakini berjaya mendapatkan satu salinan DVD berkenaan
Dalam
perjumpaan tertutup itu, Dr, Mahathir juga bercakap mengenai pembatalan
pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor, isu Proton, dasar
pertanian negara dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis
dialog tersebut bertajuk ‘Isu-isu semasa dalam politik Malaysia’
dianjurkan oleh Ikape pada Disember lalu. Institut tersebut diketuai
oleh bekas Ketua Pengarag akhbar New Straits Times, Tan Seri Abdullah
Ahmad.
Dr. Mahathir juga bercakap
mengenai isu permit
import kereta (AP). Menurutnya sudah lama penyelewengan berlaku dalam
pengagihan AP tersebut tetapi tiada siapa berani menegurnya.
“Jadi
saya terpaksa bersuara, membuat kenyataan umum mengenainya walaupun
saya pernah berjanji tidak akan mencampuri urusan kerajaan lagi apabila
bersara.
“ Penyelewengan AP ini adalah satu penyelagunaan kuasa
yang bertentangan dengan kepentingan nasional. Saya tidak boleh
mendiamkan apabila ada pihak diperas supaya membayar lebih RM300 juta
wang pendahuluan kepada beberapa orang bagi mendapatkan AP mengimport
kereta,” jelasnya.
Melayu baru
Menurut
beliau, lebih mengecewakan lagi apabila di dalam Umno sendiri tiada
siapa mahu membetulkan atau mengkritik kesalahan yang berlaku di depan
mata mereka.
“Lihatlah dalam Wanita Umno,
mentang-mentang Rafidah Aziz adalah ketua mereka dan menteri yang
bertanggungjawab trerhadap AP, ahli-ahli Wanita hanya mendiamkan diri.
“
Sedangkan pada zaman saya, ahli-ahli mengkritik saya, Umno menegur saya
malah ada yang melawan saya, cuba menjatuhkan saya. Tetapi hari ini
apabila berlaku sesuatu yang tidak betul, mereka tidak mahu bersuara.
Kalau begini keadaannya, kita bukan lagi satu kuasa politik sebenar,”
tambahnya.
Dr. Mahathir berkata, beliau tidak pernah
mendiamkan diri apabila melihat penyelewengan atau kesalahan berlaku di
depan matanya sebagaimana yang dilakukannya pada era allahyarham Tunku
Abdul Rahman dulu.
“ Ketika itu tiada siapa mahu
bersuara tentang Tunku Abdul Rahman, saya bangkit menegurnya hingga
akhirnya disingkir dari Umno,” ujarnya.
Bekas Perdana
Menteri itu menekankan, jika rakyat mahu sesuatu dilakukan dengan betul
atau diperbetulkan, mereka mesti bangkit bersuara dan mengambil risiko.
Dr. Mahathir juga ditanya mengenai ciri-ciri ‘Melayu
baru’ dalam majlis dialog tersebut dan beliau menjelaskan, ‘Melayu
baru” yang ingin dilihatnya ialah orang yang sanggup berkerja keras,
bukannya mengharapkan wang mudah atau rezeki terpijak.
“
Dapat payung kuning satu, satu kereta Rolls Royce, dapat istana dengan
pencen. Apa lagi nak? Tak payah buat kerja! Ini bukannya Melayu baru
yang kita hendak. Tujuan kita ialah mengubah sistem nilai yang selama
ini tidak membantu kemajuan orang Melayu,” jelas beliau.
Dr.
Mahathir juga bercakap mengenai hala tuju masa depan negara ini yang
mana pada pendapatnya tidak berada di landasan yang betul sekarang.
Bahagian kedua esok antara lain Dr. Mahathir bercakap mengenai dasar
pertanian negara, isu jambatan dan Anwar Ibrahim.
Soalan: Pelbagai
perkara sedang melanda Proton sekarang, bagaimana perasaan Tun?
Dr. M:
CEO MAS telah bersara tetapi kes Proton ini unik. Mereka menyingkir
orang-orang yang berjaya. Sekarang saya mula bertanya adakah Tengku
Mahaleel (bekas CEO Proton) bercakap benar atau tidak. Dia memberitahu
saya Proton membuat banyak keuntungan, mempunyai rezab berbilion Dollar
hingga mampu membina kilang di Tanjung Malim tanpa meminjam dari
kerajaan atau bank. Proton menggunakan dana dalaman. Tapi sekarang saya
mula bertanya pada diri saya samada dia bercakap benar atau tidak,
sebab sekarang Proton kerugian.
Macam mana boleh rugi?
Adakah kerana menjual kereta di bawah kos atau kos operasi telah
meningkat? Saya tidak tahu apa sebabnya tetapi apabila sebuah syarikat
yang mempunyai wang tunai yang banyak tiba-tiba mengalami, ia adalah
suatu yang memeranjatkan. Kini Proton dikatakan mengalami kerugian dan
salah satu sebabnya kerana ia membeli Augusta, syarikat pembuat
motosikal Itali.
Saya
cuba membayangkan bagaimana kita kerugian apabila kita membeli sesuatu
pada harga yang rendah. Selalunya kita hanya kerugian apabila membeli
sesuatu pada harga yang tinggi dan pembelian itu tidak mendatangkan
pulangan yang baik. Kita perlu ingat apabila kita membeli sebuah
syarikat yang mempunyai hutang, maka hutangnya akan menjadi tanggungan
kita dan dimasukkan ke dalam akaun. Kerana syarikat yang dibeli itu
mempunyai hutang, maka harga beliannya sangat murah. Siapa mahu mebeli
syarikat yang bermasalah jika harganya tinggi? Hanya syarikat yang
berjaya boleh meminta harga tinggi.
Jadi sekarang ini
saya sedang memikirkan bagaimana selepas pengurusan baru mengambilalih
Proton, tiba-tiba Proton mengalami kerugian. Saya tegaskan selepas
diambil oleh pengurusan baru, bukan diambilalih oleh CEO baru. Adakah
kerana pengurusan barunya tidak cekap hingga menyebabkannya kerugian?
Saya tidak fikir mereka tidak berkemampuan kerana semua mereka adalah
orang-orang yang berkelayakan tinggi. Ada satu misteri di sini. Kita
perlu mencungkil misteri ini hingga ke dasarnya bagi mencari jawapan
mengapa sebuah syarikat yang begitu berjaya tiba-tiba mengalami
kerugian selepas CEOnya disingkirkan.
Ya… saya adalah
penasihat Proton tetapi nasihat saya tidak diminta sebelum sesuatu
keputusan dibuat…saya hanya diberitahu mengenai sesuatu perkara
selepas keputusan dibuat. Saya bukannya seperti penasihat British,
tetapi seorang penasihat Melayu yang nasihatnya hanya diminta selepas
sesuatu keputusan dibuat.
Apa
yang berlaku ini adalah suatu yang amat malang bagi Prototn kerana
kewujudan Proton bukan hanya untuk membuat keuntungan tetapi untuk
menguasai teknologi. Saya percaya ilmu teknologi yang telah dikuasai
Proton setakat ini amat banyak dan menakjubkan.
Dalam
masa 15 tahun, daripada sebuah negara yang tidak mempunyai apa-apa
kemahiran kejuruteraan, yang industri automotifnya hanya sekadar
memasang skrew dan bahagian yang dibekalkan oleh orang lain, sekarang
kita kita mampu mereka bentuk, menguji dan mengeluarkan kereta yang
diiktirafkan sebagai sangat baik oleh ‘Car’ sebuah majalah automotif
British.
Dengan adanya pengurusan baru ini kita akan
mendengar lebih banyak berita buruk. Sebagaimana yang saya katakan
dulu, apabila satu berita buruk keluar, lebih banyak berita buruk akan
menyusul kerana pengurusan baru mahu membuktikan pengurusan lama
melakukan banyak kesilapan dan mereka akan kelihatan betul.
Soalan:Bagaimana Tun menilai kemajuan
negara ke arah Wawasan 2020?
Dr. M:
Saya percaya pada dua perkara, pertama kita kena tahu dari mana asal
kita. Untuk maju kita mesti tahu di mana kedudukan kita, jika tidak
kita akan tersilap, kita akan menyangka kita semakin maju sedangkan
sebenarnya kita semakin ketinggalan. Kita kena belajar sejarah kita .
Orang muda kena tahu sejarah negara ini, kena tahu asal usul dan
kedudukan kita.
Selama 450 tahun kita dijajah. Kita
hanya merdeka sejak 1957. Kita telah saksikan kemajuan negara ini
semasa dijajah dan selepas merdeka dan jika kita tidak mahu dijajah
lagi kita kena berdikari dan mengukuhkan diri sendiri. Kita telah
mencapai kemajuan yang besar sejak merdeka dan mesti terus membangun.
Kita
telah berjaya melahirkan ramai profesional, peguam, jurutera dan
doktor. Kita meletakkan harapan tinggi pada mereka. Bagaimanapun ilmu
sahaja tidak mencukupi untuk memajukan diri sendiri dan negara.
Memiliki sistem nilai yang baik sama penting atau lebih penting dari
ilmu berkenaan. Jika kita tidak memiliki sistem nilai yang baik, ilmu
yang dimiliki mungkin tidak dapat membantu kita. Kita mungkin akan
menyalahgunakan ilmu itu. Bagi masyarakat Melayu, keadaan ini amat
membimbangkan.
Saya akui, sehingga saya bersara, saya gagal
mengubah pemikiran
orang Melayu. Saya masih berpendapat, mengubah pemikiran orang Melayu
suatu yang amat penting. Hari ini jika anda membaca akhbar New Straits
Times, antara pengidap HIV/Aids di Pahang, 86 peratus daripadanya
adalah orang Melayu, 5 peratus China dan 7 peratus India.
Kita
kena tanya diri sendiri, mengapa Melayu? Mengapa mereka terbabit dalam
gejala ini, mengidap HIV/Aids? Ada orang beritahu saya kerana mereka
mengambil dadah. Kalau benar, mengapa mereka menagih dadah? Mengapa
orang Cina tidak hisap dadah? Mengapa orang India tidak menagih dadah?
Mereka jawab lagi, kerana orang Melayu mempunyai banyak masa terluang,
tak ada apa nak buat. Adakah ini alasan yang baik? Bagi saya, tidak….
Jadi kita perlu melahirkan bukan sahaja seorang yang
berpengetahuan tetapi seorang yang mempunyai daya tahan untuk menolak
pengaruh buruk yang ada di sekelilingnya. Ini memerlukan disiplin yang
tinggi. Sistem pendidikan Malaysia sekarang tidak menekankan aspek
pembinaan sikap.
Betul…. kita mempunyai guru agama
yang mengajar kita apa yang baik dan buruk tetapi ada juga yang
mengajar warna hijau lebih baik dari warna biru. Saya pelik mengapa ada
guru lukisan yang melukis bulatan dengan mewarnakan luarannya warna
hijau dan tengahnya putih.
Ini
menunjukkan ada orang menggunakan warna bagi menerap nilai-nilai yang
tidak baik. Mereka ini tidak mengajar nilai-nilai yang kepada anak-anak
kita. Jadi kalau kita tidak mempunyai sikap yang betul, walaupun kita
seorang jurutera, kita tidak akan berjaya. Untuk berjaya kita mesti
mempunyai kemahuan untuk berkerja keras.
Adakah anda
tahu di Jepun, pada pukul 8 malam atau 9 malam, lampu masih terang
benderang di tempat kerja. Tetapi di sini pukul 4 petang, kita semua
sudah balik, main golf atau melakukan perkara lain yang kita rasakan
lebih penting.
Soalan: Pada pandangan Tun, ke manakah
hala tuju negara ini sekarang?
Dr. M:
Kita ada hala tuju, maksud saya kita ada Islam Hadhari, kita mahu
menjadi negara pertanian. Itulah hala tujunya tetapi saya rasa kita
tidak begitu maju dalam bidang pertanian kecuali dalam penanaman kelapa
sawit. Saya rasa Thailand jauh di hadapan kita dalam bidang ini. Mereka
menghasilkan buah-buahan yang lebih baik, kecuali durian D24….. yang
lain kita kalah pada mereka.
Jadi saya rasa kita
sepatutnya menumpu pada bidang berasaskan teknologi tinggi dan
kemahiran, tetapi kerajaan sekarang mahu fokus pada pertanian.
Mungkin
selepas ini kita terpaksa mengeksport beberapa tan sayur-sayuran untuk
menampung kemasukan percuma sebuah kereta Jepun ke negara ini. Mungkin
itulah hala tuju kita sekarang. Saya tidak boleh kata saya tidak
bersetuju dengan dasar itu kerana saya telah mebuta keputusan tidak
akan campurtangan dalam urusan kerajaan sekarang. Sebenarnya saya masih
tercari-cari arah tujuan kita….saya akan beritahu anda apabila telah
menemuinya nanti.
Soalan: Apa pendapat Tun tentang Puteri
Umno sekarang? Bagaimana agaknya Malaysia 50 tahun lagi?
Dr. M:
Saya menerima banyak bantahan bila hendak menubuhkan Puteri Umno dulu.
Saya mengharapkan Puteri Umno dapat memberi sumbangan yang baik.
Setakat ini saya rasa mereka telah berjaya. Mereka aktif, melakukan
banyak kerja yang baik dan tidak berebu-rebut untuk mencari peluang
pekerjaan atau menjadi calon. .
Kemunculan Puteri Umno
telah membimbangkan parti pembangkang sebab mereka tahu orang-orang
muda ini mempunyai pengaruh yang besar. Saya tidak tahu samada saya
patut sebut ini atau tidak, tetapi Wanita Umno saya rasa semakin tua,
sudah beku dan tidak boleh dibentuk lagi. Akibatnya orang muda tidak
mahu lagi menyertai orang-orang yang dimamah usia ini. Kerana itu saya
kami memutuskan menubuhkan Puteri. Walaupun pada awalnya banyak
bantahan tapi saya rasa keputusan itu adalah tepat. Puteri Umno telah
membawa nafas baru kepada parti.
Saya
rasa seorang pemimpin mesti tahu bila untuk berundur dan memberi
peluang kepada orang muda memegang teraju. Macam saya dulu…saya mahu
berundur tetapi ramai yang menghalang dan bertanya pelbagai soalan.
Jadi saya rasa Puteri Umno mesti selalu ingat jangan biarkan diri
menjadi beku dan keras hingga tidak boleh dibentuk atau diubah lagi.
Mengenai Malaysia 50 tahun akan datang, kita perlu
positif. Jika
kita mempunyai pemimpin yang baik saya rasa negara ini boleh kekal
sebagai negara membangun yang paling baik. Sekarang ini Malaysia
dianggap sebagai negara model bagi negara-negara membangun, sebuah
negara berasaskan pertanian yang telah bertukar menjadi sebuah negara
perindustrian.
Malaysia telah menunjuk jalan kepada
negara-negara lain bagaimana untuk maju. Kalau kita mahi keadaan ini
berterusan, kita mesti mencari pemimpin yang sanggup menjadi tidak
popular di kalangan kumpulan tertentu.
Saya tidak
percaya pada populariti termasuk di kalangan orang Melayu. Anda tidak
tahu berapa kali saya mengkritik orang Melayu. Melayu mudah lupa. Saya
lakukan ini kerana ia perlu dilakukan. Jika kita buat sesuatu kerana
mahu popular, kita akan melakukan kesilapan. Jadi saya rasa dalam
tempoh 50 tahun lagi, dengan adanya pemimpin yang baik,saya yakin kita
akan kekal sebagai salah sebuah negara membangun yang paling berjaya.
Soalan: Apa pendapat Tun tentang cadangan
menyerapkan pembangkang ke dalam kerajaan sebagai langkah ‘check and
balance’?
Dr. M:
Kita mempunyai pembangkang yang amat kecil. Kalau kita serap mereka
dalam kerajaan, kita akan kehilangan semua pembangkang. Saya tidak
setuju dengan konsep negara satu parti . Walaupun saya tidak nampak
peranan besar pembangkang pada era saya namun saya tetap rasakan mereka
perlu wujud.
Pembangkang perlu ada kerana mereka akan
menegur jika kita membuat kesalahan atau perlu mengkaji secara mendalam
sesuatu keputusan. Jika tiada pembangkang, kita akan menyangka segala
yang kita buat adalah betul sedangkan ia mungkin satu kesilapan besar.
Saya percaya kita perlukan pembangkang kerana itulah salah satu
daripada intipati demokrasi.
Soalan:
Pembangkang mahu menjadikan Anwar Ibrahim pemimpin utama mereka. Anwar
pernah berkata dia tidak akan menyertai semula Umno tetapi sebagai
orang politik, saya yakin dia bersikap terbuka. Malah ada laporan
mengatakan Umno mungkin membuka pintu untuk Anwar. Kalau itu berlaku
apa akan jadi pada PAS dan Keadilan?
Dr. M: Akhirnya nama
Anwar muncul juga…
Anda
tahukan Anwar mampu melakukan sesuatu yang tidak diduga. Umpamanya
ketika dia meyertai Umno….sebenarnya saya dan orang lain menyangka
dia akan menyertai PAS, tetapi dia masuk Umno. Memeranjatkan…
Dia
berjaya menyakinkan Abim bahawa menyertai Umno adalah suatu yang baik.
Jadi tidak mengejutkan kalau dia mahu menyertai Umno semula nanti. Dia
mungkin melakukannya menerusi orang-orang yang masih bersimpati
dengannya dan percaya segala tuduhan terhadapnya selama ini adalah satu
konspirasi yang dirancang oleh Perdana Menteri ketika itu.
Saya
rasa Anwar perlu ikut jejak saya…sedar dan terima hakikat bahawa masa
untuk kita sudah berlalu. Saya rasa Umno yang ada sekarang akan
menolaknya jika dia cuba menyertai semula Umno. Pada masa depan kita
tidak tahu kerana generasi baru mungkin lain cara berfikirnya. Lihat
saja di barat dan negara-negara maju, homoseksual tidak lagi dianggap
suatu yang salah.
Mungkin ada peluang untuknya kembali
menyertai Umno satu masa nanti tetapi pada ketika itu dia sudah agak
tua dan generasi muda mungkin akan menolaknya. Pada pendapat saya
peluangnya amat tipis. Oleh itu PAS dialu-alukan untuk menerima Anwar,
saya rasa ia baik untuk PAS.